Penunggang motosikal maut dalam kemalangan enam kenderaan | The Reporter

Penunggang motosikal maut dalam kemalangan enam kenderaan

Penunggang motosikal maut kemalangan
Foto ihsan orang awam

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang penunggang motosikal berusia 20 tahun, Aysar Zahran bin Saiful Alimin, maut dalam kemalangan tragis membabitkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.45 petang apabila sebuah Perodua Alza dari arah Ampang memasuki laluan bertentangan dan merempuh empat motosikal serta sebuah kereta yang sedang dalam perjalanan dari Hulu Langat ke Ampang.

“Siasatan awal mendapati pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke tepi jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa, yang juga seorang bekas pelajar cemerlang, pernah dinobatkan sebagai pemenang Top FIA Prize Winner ACCA pada Disember 2023 selepas meraih markah 98% untuk kertas Management Information (MA1). Beliau diiktiraf sebagai pelajar terbaik Malaysia dan menduduki tempat kedua dunia dalam peperiksaan tersebut.

Selain itu, lima individu lain, terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal, cedera dan dikejarkan ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan. Namun, kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu Alza yang berusia 27 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut, dan kenderaan terlibat akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Kimia bagi tujuan pemeriksaan,” tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Narolhisyam Endi di talian 019-5897115.

Sumber: My News Hub, Harian Metro

Related Posts