Penjual belon yang terlibat dalam insiden kecoh dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) baru-baru ini disahkan mempunyai 13 rekod jenayah lampau, dengan majoritinya berkaitan kesalahan dadah.
Maklumat itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang memaklumkan pihaknya telah membuka tiga kertas siasatan berkaitan kejadian berkenaan.
“Kita buka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 186, Seksyen 325 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Dua daripadanya telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) manakala satu lagi masih menunggu maklumat dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana ia membabitkan kandungan dalam laman web,” katanya memetik laporan Harian Metro.
- ‘Ujian bertimpa-timpa datang, saya reda’ – Bapa Aliff Daniel
- Kematian bukan hanya tentang jenazah, tetapi mereka yang kita tinggalkan
- Pelajar berhijab dihalang ke sekolah, 37 ditahan susulan bantahan di Azerbaijan
- Nahas Jalan Kuching: CIMB zahir simpati, akan ambil tindakan sewajarnya
- ‘Jangan hukum saya berdasarkan cerita sebelah pihak’ – Marhamah Rosli
Individu terbabit kini sedang menerima rawatan di hospital, sementara dua penguat kuasa DBKL yang terlibat dalam insiden itu telah dikenakan tindakan dalaman oleh jabatan mereka.
Insiden yang berlaku malam Sabtu lalu menarik perhatian ramai apabila dua rakaman video berdurasi lebih tiga minit tular di media sosial, memaparkan kekecohan melibatkan aksi tolak menolak antara penguat kuasa DBKL dan beberapa peniaga yang cuba mempertahankan barangan jualan mereka.
Ekoran penularan rakaman tersebut, pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin negara tampil mengecam kejadian itu dan mendesak siasatan menyeluruh dijalankan bagi memastikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat.








