Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seramai 125,000 penjawat awam Gred 1 yang terdiri daripada Pembantu Tadbir, Perkeranian dan Kewangan perlu mengikuti kursus pendek selama dua minggu sebagai syarat sebelum layak dinaikkan ke Gred 5.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kursus tersebut akan memberi pendedahan asas kepada perkembangan semasa termasuk aspek Teknologi Maklumat (IT) bagi memastikan kumpulan berkenaan bersedia dengan tuntutan tugas yang lebih luas.
Menurut beliau, syarat itu ditetapkan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bertujuan memperbaiki laluan kerjaya penjawat awam pada gred paling rendah.
Kursus dua minggu wajib
Anwar menjelaskan, kerajaan meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyediakan laluan kenaikan gred daripada Gred 1 ke Gred 5 khusus untuk kumpulan Pembantu Tadbir, Perkeranian dan Kewangan yang dianggarkan seramai 125,000 orang.
Beliau berkata, kursus pendek selama dua minggu itu diwajibkan bagi memastikan mereka mendapat sedikit pendedahan baharu terutama berkaitan teknologi dan kemahiran semasa.
Menurutnya, kursus tersebut sedang diselaraskan oleh JPA dan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira enam bulan.
Kenaikan gred dijangka bermula 2027
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kerajaan sedang memperincikan syarat pelaksanaan termasuk modul kursus dan keperluan lain sebelum kenaikan gred tersebut dilaksanakan.
Katanya, langkah itu merupakan sebahagian usaha menambah baik SSPA selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak mengenai peluang kemajuan kerjaya penjawat awam.
Kenaikan gred berkenaan dijangka mula dilaksanakan secara rasmi bermula Januari 2027.
Sumber: Harian Metro




