Keupayaan kerajaan memastikan urusan dan perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar bergantung kepada kecukupan tenaga kerja dalam perkhidmatan awam.
Atas keperluan itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menyasarkan 30,000 lantikan penjawat awam pada tahun ini bagi menggantikan pegawai yang bersara serta menjamin kesinambungan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
Pengerusi SPA, Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, sasaran berkenaan bukan bertujuan menambah saiz perkhidmatan awam semata-mata, sebaliknya bagi menampung kekosongan jawatan akibat persaraan yang jika tidak ditangani boleh menjejaskan kecekapan pentadbiran dan mutu perkhidmatan kepada rakyat.
Baca juga:
- Pelajar UCYP terima sijil penghargaan, bantu lancarkan pergerakan ambulans ke HTAA
- Kerajaan kekal iktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di- Pertuan Negeri Sembilan
- Tunku Nadzaruddin ditabal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12
Penggantian pesara, elak gangguan perkhidmatan
Menurut beliau, peningkatan sasaran lantikan berbanding 25,000 pada tahun lalu dibuat selepas mengambil kira keperluan semasa pelbagai sektor awam, khususnya perkhidmatan yang bersentuhan terus dengan urusan harian rakyat di peringkat persekutuan dan negeri.
Tanpa penggantian yang terancang, kekosongan jawatan boleh memberi kesan langsung kepada kelancaran operasi, masa pemprosesan serta keupayaan agensi kerajaan melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat. Namun dalam usaha memenuhi keperluan lantikan itu, SPA turut berdepan cabaran dari segi jumlah permohonan yang diterima.
Ahmad Jailani memaklumkan, jumlah permohonan perkhidmatan awam menurun sekitar 200,000 pada tahun lalu kepada kira-kira satu juta berbanding 1.2 juta pada 2024. Penurunan itu dipengaruhi pelaksanaan syarat kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Bagaimanapun, SPA menjangkakan angka permohonan dapat dikekalkan semula melebihi satu juta pada tahun ini.
Sumber: Bernama








