Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis menahan seorang lelaki yang juga merupakan penjawat awam selepas disyaki merakam video seorang wanita tanpa kebenaran ketika berada di Pekan Sehari Temerloh, Pahang.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Nasyim Bin Bahron berkata, siasatan mendapati kejadian sebenar berlaku pada 9 November 2025 kira-kira 12.45 tengah hari, selepas seorang wanita Melayu berusia 22 tahun membuat laporan polis mendakwa seorang lelaki merakam videonya tanpa izin.
Insiden berkenaan juga turut tular di media sosial yang menunjukkan suspek ditangkap orang awam setelah perbuatannya dikesan.
“Berdasarkan maklumat diterima, polis telah menahan seorang lelaki dan merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk merakam mangsa secara curi,” katanya.
Baca juga:
- ‘Lu siapa? Itu sangkaan jahat YB’ – Pengarah Urusan Mydin Bidas MP DAP
- Fazura umum bersara dari drama TV, fokus pada anak
- ‘Sistem dua peringkat Tahun 1 cetus kasta, stigma dan risiko buli’ – Syed Saddiq
Hasil siasatan juga mendapati dakwaan berkenaan adalah benar. Pemeriksaan terhadap telefon suspek menemui beberapa rakaman video mangsa.
Turut dijumpai adalah sejumlah video serta gambar berunsur lucah melibatkan individu lain.
“Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 509A/292 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang serta memiliki bahan lucah.
“Jika sabit kesalahan, Seksyen 509A memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya, manakala Seksyen 292 pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya,” jelasnya.
Mohd Nasyim turut menasihatkan orang awam supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam kejadian seumpama itu serta mengelakkan penyebaran spekulasi sementara siasatan masih dijalankan.









