Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengeluarkan amaran keras kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab yang menaikkan harga barangan atau perkhidmatan meskipun telah menerima subsidi diesel. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka termasuk kemungkinan pembatalan lesen perniagaan.
Dalam usaha untuk meringankan beban rakyat, kerajaan telah melaksanakan pengecualian dan pemberian subsidi kepada golongan tertentu seperti nelayan, pekebun kecil, dan pengusaha bas sekolah. Namun, terdapat kebimbangan bahawa ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga walaupun mendapat manfaat dari subsidi tersebut.
Tarik lesen, batalkan syarikat
“Sebenarnya (orang) ingat kita dalam Jemaah Menteri senang nak lakukan, tak ada hati perut, tak peduli orang susah, naikkan harga… tidak.
“Saya sendiri berpuluh kali bermesyuarat supaya jangan terbeban, maka nelayan dikecualikan, maka subsidi diteruskan untuk nelayan, pekebun kecil, bas sekolah.
“Bas sekolah naik (harga perkhidmatan), tapi kita bagi amaran, kamu diberi subsidi dan kamu naik, kamu jaga. Saya tak tahu orang lain. Kalau saya, jika kamu naik juga dalam keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu, batalkan syarikat (kamu),” tegas Perdana Menteri.
Kebocoran subsidi angkara penyakau
Beliau juga menjelaskan, langkah penyasaran subsidi diesel ini diambil untuk mengatasi masalah ketirisan yang serius, di mana terdapat peningkatan penggunaan diesel yang tidak sepadan dengan jumlah kenderaan. Ini menunjukkan adanya kebocoran yang perlu ditangani segera.
“Jumlah kenderaan mungkin (bertambah) naik sekitar lapan peratus tapi penggunaan diesel naik 20 ke 30 peratus, maknanya yang lain itu bocor. Tiris siapa bayar? Negara bayar… wang itu sepatutnya di pendidikan, kesihatan, untuk orang miskin tapi hilang kepada penyakau ini.
“Sebab itu kita kena buat penyasaran. (Sebelum ini) siapa yang dapat untung? 3.5 juta orang asing, tak bayar cukai tapi dia dapat kemudahan ini kerana harga disubsidi oleh pemerintah.
“Kita tidak dera rakyat miskin, setiap sen tambahan, kita pulangkan balik,” katanya.
Penetapan harga runcit bahan api diesel baru-baru ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan subsidi disalurkan kepada yang benar-benar memerlukan dan bukan disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.








