Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang peniaga kosmetik lelaki berusia 35 tahun ditahan polis di Kuala Terengganu bersama dadah jenis syabu seberat 1.02 kilogram dalam serbuan di Kampung Paya Keladi pada 28 April lalu.
Aset mewah dirampas
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 8.40 malam di sebuah premis tidak beroperasi dan turut menemui dadah dianggarkan bernilai RM32,000, dipercayai untuk edaran kepada lebih 6,000 penagih di daerah itu.
Polis turut menyita beberapa aset mewah disyaki hasil daripada kegiatan haram termasuk tiga kenderaan — Toyota Alphard, Mini Cooper Countryman dan Range Rover — wang tunai RM7,700 serta pelbagai barang kemas emas seperti rantai leher dan gelang. Nilai keseluruhan rampasan mencecah RM981,500.
Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Nimetazepam, namun tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau. Suspek kini direman selama tujuh hari hingga 5 Mei ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Kegiatan guna bisnes sebagai topeng makin ketara
Walaupun kes ini berlaku di Terengganu, coraknya mengingatkan semula kepada kebimbangan pihak polis yang pernah dibangkitkan di negeri jiran, Kelantan.
Pada bulan Mac lalu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun mendedahkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti trend melibatkan segelintir pengasas produk dan pempengaruh yang menggunakan perniagaan sebagai topeng untuk menyembunyikan aktiviti pengedaran dadah serta penggubahan wang haram.
Menurutnya, siasatan sejak beberapa tahun mendapati terdapat individu yang kelihatan mewah di media sosial, namun sebenarnya terlibat dalam kegiatan jenayah terancang. Mereka dipercayai menyalahgunakan platform perniagaan kosmetik, produk kesihatan dan gaya hidup untuk menyembunyikan sumber pendapatan sebenar.
Beberapa kes terdahulu di Kelantan turut melibatkan tangkapan individu bergelar Datin serta pengasas produk terkenal yang disita bersama aset mewah hasil daripada aktiviti berkaitan dadah.
Pihak berkuasa menegaskan bahawa tiada siapa yang kebal daripada undang-undang walaupun memiliki pengaruh di media sosial atau berstatus ‘usahawan berjaya’. Usaha membanteras jenayah berselindung di sebalik perniagaan sah akan diteruskan bagi mengekang sindiket yang semakin berani menggunakan strategi penyamaran korporat.








