Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang peniaga, Rosmaini Abd Raof, 41, kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin@Sylvester, sehingga koma tiga tahun lalu.
Hakim Fatimah Zahari dalam penghakimannya menyatakan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
“Setelah meneliti semua keterangan, dokumen, dan hujahan pihak-pihak, mahkamah mensabitkan tertuduh bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun, bermula dari tarikh sabitan hari ini,” katanya.
Rayuan untuk hukuman ringan ditolak
Sebelum keputusan dibacakan, peguam tertuduh, Mohd Salleh Togimin, merayu agar hukuman diringankan dengan alasan tertuduh menghidap sakit jantung dan perlu menyara dua isteri serta lapan anak berusia antara dua hingga 19 tahun. Namun, rayuan itu tidak mengubah keputusan mahkamah.
Kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu, manakala peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa ialah Muhammad Hazeem Mohd Norizan dan Syufri A Samad.
Jahidah masih terlantar
Adik mangsa, Fauziah Nordin, 43, yang turut hadir memberikan kenyataan impak mangsa, menggambarkan keadaan kakaknya kini hanya terlantar seperti ‘mayat hidup’.
Menurut Fauziah, dia menguruskan segala keperluan kakaknya termasuk memandikan, menggantikan lampin pakai buang, serta menyediakan susu khas setiap empat jam.
“Jahidah tidak dapat bercakap, bergerak, atau memberikan respons sejak tiga tahun lalu. Lebih menyedihkan, dia tidak dapat memberikan kasih sayang kepada anak tunggalnya, Eshan Nufail, yang kini berstatus OKU akibat perkembangan lambat,” katanya.
Keluarga syukur dengan keputusan mahkamah
Selepas prosiding selesai, Fauziah melahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah yang memberikan pembelaan kepada kakaknya.
“Kami sekeluarga bersyukur kes ini akhirnya selesai. Fokus kami kini adalah menjaga kakak dan anaknya serta terus berdoa agar dia dapat sembuh,” ujarnya.
Dalam kejadian yang berlaku pada 4 Mei 2021, di sebuah pangsapuri di Larkin, apabila Rosmaini didakwa memukul kepala, muka, dan tangan mangsa serta menghentak kaki ke belakang badan sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Sumber: Harian Metro