'Pengusaha hotel digesa selaraskan semula waktu masuk & keluar' - Menteri | The Reporter

‘Pengusaha hotel digesa selaraskan semula waktu masuk & keluar’ – Menteri

Sumber Gambar: Hotel Management

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Susulan isu mengenai rungutan orang ramai mengenai masa daftar masuk dan keluar, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menggesa agar pengusaha hotel menyelaraskan semula waktu berkenaan bagi memastikan pengguna dapat menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.

Jelas beliau, penginapan 23 jam sehari merupakan perkara biasa di luar negara dan perkara itu tidak menjejaskan soal kebersihan atau kualiti penginapan, malah pengguna juga merasakan wang yang dibelanjakan berbaloi dengan perkhidmatan diterima.

“Saya faham jika hotel mahu menjimatkan kos dan dapat meraih keuntungan dengan lebih banyak. Namun, perkara ini bukan hanya melibatkan keuntungan pemain industri semata-mata. Pelanggan yang berbelanja pasti mahu melakukannya dengan senang hati.

“Jika pelanggan berpuas hati dengan apa yang dibelanjakan, pasti pengusaha akan gembira dengan keuntungan yang berlipat kali ganda.

“Sebaliknya, jika pelanggan menerima pengalaman penginapan tidak memuaskan, ia memberi gambaran pihak hotel hanya mementingkan soal keuntungan dan bukan kualiti perkhidmatan,” katanya.

Beliau juga memberikan jaminan akan membantu menyelesaikan masalah kekurangan pekerja seperti yang dibangkitkan oleh pengusaha hotel sebagai punca tempoh proses pembersihan dan penyediaan bilik mengambil masa lebih lama, menyebabkan mereka bimbang untuk melanjutkan tempoh penginapan.

“Pada masa ini, industri perhotelan tidak menikmati keutamaan apabila memohon pengambilan pekerja asing. Malah bilangan negara sumber yang dibenarkan untuk membekalkan pekerja asing amat terhad dan menjejaskan tenaga kerja.

“Saya akan berbincang dengan jabatan berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian berhubung perkara ini. Ini termasuk memberi kemudahan kepada pengusaha hotel untuk mengambil pekerja asing secara terus tanpa melalui perantara,” katanya.

Dalam pada itu, Tiong turut mengarahkan Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) untuk membantu mewujudkan kursus berkaitan latihan pembersihan dan pengemasan bilik hotel, dengan mereka yang tamat latihan diberikan sijil.

“Ini dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kecekapan kerja di hotel, selain menambah imej profesional pelancongan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sumber: Dato’ Seri Tiong King Sing

Related Posts