Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa satu penghargaan luar biasa buat rakyat Malaysia bakal diumumkan pada hari esok atau Rabu.
Menurut beliau, pengumuman itu memerlukan sedikit masa untuk diteliti sebelum dimuktamadkan, susulan sesi pemukiman Kerajaan Perpaduan yang diadakan di Port Dickson, semalam.
“Ini sebagai mukadimah sebelum saya umumkan beberapa pendekatan baharu. Kalau tak sempat esok, Rabu,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Memetik laporan Berita Harian, Anwar berkata masa diperlukan untuk mempertimbangkan beberapa perubahan penting yang mampu menangani keresahan rakyat ketika ini.
“Keresahan ini memerlukan saya pertimbangkan perubahan dan pengumuman yang perlu dibuat bagi meredakan tuntutan mereka.
“Saya sudah nyatakan, dalam sehari dua ini saya perlu buat pengumuman sama ada dalam bentuk langkah tambahan atau sebagainya. Tetapi ia perlu diteliti dengan sebaiknya,” jelasnya.
Terdahulu, rakyat Malaysia mula berteka-teki mengenai perkara itu selepas Anwar memuat naik poster bertulis “AKAN DATANG” di Facebook, disertakan mesej: “Suatu Penghargaan Luar Biasa Untuk Rakyat Malaysia. Bersama Malaysiaku.”








