Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Sesebuah perkahwinan akan lebih diberkati sekiranya majlis akad nikah berlangsung berpandukan syariat Islam.
Seolah menjadi trend terkini, wanita beragama Islam dilihat berpakaian seksi dan tidak menutup aurat ketika majlis akad nikah berlangsung.
Tular baru-baru ini juga seorang selebriti berpakaian seksi ketika majlis akad nikah berlangsung.
Mengulas isu ini, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, ia merupakan suatu budaya jahiliah dan mungkar yang wajar ditinggalkan.
“Sebagaimana diketahui sebilangan besar masyarakat Islam bahawa hukum menutup aurat adalah wajib dalam Islam.
“Aurat lelaki Muslim wajib ditutup ketika berada di khalayak antara pusat dan lutut, manakala wanita Islam diwajibkan menutup seluruh tubuh kecuali muka dan telapak tangan ketika kehadiran lelaki ajnabi (bukan mahram),” katanya.
Bagaimanapun katanya,ketika berada dalam kalangan wanita, mereka hanya diwajibkan menutup bahagian pusat dan lutut.
“Cuma pakaian itu disyaratkan tidak nipis sehingga menampakkan kulit dan tidak terlalu ketat. Secara prinsipnya wanita Islam diharuskan memakai apa jua fesyen pakaian termasuk ketika hadir majlis akad nikah dengan syarat seperti dinyatakan,” katanya.
Sumber: Kosmo