Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Penganjur Sukan Olimpik Paris 2024 sekali lagi melakukan kesilapan besar apabila mereka memainkan lagu kebangsaan yang salah sebelum perlawanan bola keranjang lelaki, Sudan Selatan.
Lagu kebangsaan yang dimainkan ketika itu adalah lagu kebangsaan Sudan, bukannya lagu kebangsaan Republik Sudan Selatan.
Untuk pengetahuan, Sudan Selatan telah memperoleh kemerdekaan dari Sudan pada tahun 2011, selepas beberapa dekad mengharungi perang saudara. Kemunculan mereka di Olimpik 2024 adalah penampilan pertama mereka dalam acara bola keranjang lelaki.
Ketika lagu kebangsaan dimainkan, pemain dan penyokong Sudan Selatan kelihatan keliru dan bingung. Lagu tersebut kemudian dihentikan secara tiba-tiba, di tengah-tengah sorakan ‘boo’ dari penonton dan disusuli dengan permohonan maaf di atas kesilapan ‘teknikal’ itu.
Penonton kemudian bertepuk tangan sebagai tanda sokongan kepada pemain Sudan Selatan sehingga lagu kebangsaan yang betul dimainkan.
Pihak penganjur dalam satu kenyataan memaklumkan, kesilapan yang berlaku itu adalah berpunca dari kesilapan manusia dan pihaknya memandang serius akan perkara itu.
Sementara itu, atlet bola keranjang Sudan Selatan, Majok Deng menegaskan, kesilapan sedemikian tidak sepatutnya berlaku pentas temasya antarabangsa ini.
“Mereka perlu lebih berhati-hati kerana ini adalah pentas terbesar dan perlu tahu bahawa Sudan Selatan yang sedang bertanding,” katanya.
Dalam pertandingan itu, Sudan Selatan berjaya menewaskan Puerto Rico dengan skor 90-79. Pemain hadapan Sudan Selatan, Nuni Omot berkata, insiden tersebut secara tidak langsung telah memberi semangat tambahan kepada pasukan mereka.
Ini merupakan kali kedua penganjur terpaksa memohon maaf di atas kesilapan mereka. Sebelum ini, penganjur tersilap memperkenalkan Korea Selatan sebagai Korea Utara semasa upacara pembukaan Olimpik 2024.
Sumber: BBC