Penganggur terajang & sepak warga emas selepas terbabit dalam kemalangan kecil, dipenjara enam bulan - The Reporter

Penganggur terajang & sepak warga emas selepas terbabit dalam kemalangan kecil, dipenjara enam bulan

Sumber gambar: Harian Metro

Jumaat lalu, tular video seorang penunggang motosikal tidak berbaju memukul warga emas kerana tidak berpuas hati motosikalnya dilanggar oleh mangsa yang keluar dari persimpangan secara tiba-tiba.

Berdasarkan video berdurasi 29 saat itu, mangsa keluar dari persimpangan sebelum didatangi oleh suspek yang menunggang skuter di lorong bertentangan.

Mangsa sempat memberhentikan motosikalnya, tetapi suspek gagal berbuat demikian lalu berlaku perlanggaran.

Tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku, suspek terus menerajang dan menyepak mangsa beberapa kali tanpa menyedari perbuatannya dirakam ‘dashcam’ pengguna jalan lain.

Video kejadian boleh tonton di Telegram The Reporter

Susulan kejadian itu, suspek telah ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kajang hari ini kerana didapati bersalah atas pertuduhan menunggang motosikal dengan gopoh dan menyerang warga emas sehingga mengalami kecederaan.

Tertuduh, Irwan Syah Rizal, 35, mengaku bersalah atas dua pertuduhan tersebut di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Low Khoon Hwa, 71, di Jalan Cheras Perdana, Hulu Langat, 1 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh yang juga penganggur didakwa menunggang motosikal dengan gopoh sehingga membahayakan nyawa mangsa.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim mencadangkan agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal secara berasingan sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurshuhada Imraanuar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara secara serentak bagi dua pertuduhan itu.

Majistret Nik Siti Norazlini kemudian memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan (menunggang secara gopoh – 4 bulan, mencederakan mangsa – 2 bulan) bagi dua pertuduhan itu secara berasingan dari tarikh mula dia ditangkap.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!