Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Pendakwah terkenal Indonesia, Gus Miftah atau nama sebenarnya Miftah Maulana Habiburrahman, dikecam hebat oleh netizen selepas video dirinya didakwa menghina seorang peniaga minuman tersebar.
Insiden itu berlaku ketika beliau menyampaikan ceramah di Magelang.
Dalam rakaman yang tular, Gus Miftah dikatakan menggunakan kata-kata kasar terhadap seorang peniaga yang dipercayai bernama Suharji. Perbuatan itu dianggap tidak sensitif dan telah mencetuskan kemarahan ramai, terutamanya kerana ia melibatkan seorang individu yang lebih berusia daripadanya.
“Masih banyak ke jualan air teh kamu? Ya jual di sana, goblok (bodoh). Jual dulu. Nanti kalau masih belum laku, ya sudah, tak ada, takdir,” katanya.
Susulan kritikan tersebut, Gus Miftah tampil memohon maaf secara terbuka. Beliau menjelaskan, kenyataannya itu hanyalah gurauan, namun beliau mengakui kesilapan yang telah dilakukan.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk bertemu dengan peniaga terbabit bagi menyampaikan permohonan maaf secara peribadi.
Sementara itu, Suharji mengakui terkilan dengan tindakan Gus Miftah yang melemparkan kata-kata sedemikian terhadapnya di khalayak ramai.
“Saya mencari nafkah untuk anak isteri, kenapa diperlakukan begini? Saya sedih dan kecewa,” katanya.
Gus Miftah, yang juga dilantik sebagai Utusan Khas Presiden untuk perpaduan agama, telah beberapa kali menjadi perhatian atas tindakan dan pendekatannya dalam berdakwah. Sebelum ini, beliau turut terlibat dalam kontroversi seperti menyampaikan dakwah di pusat hiburan. – Agensi