Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang individu yang mempunyai 24 rekod jenayah lampau maut ditembak polis selepas berbalas tembakan di Jalan Jeram Pasu, Pasir Puteh, Kelantan pagi tadi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, memaklumkan bahawa suspek berusia 31 tahun, yang bekerja sebagai penarik kereta, memiliki 17 rekod jenayah dan tujuh kes berkaitan narkotik.
Menurut beliau, sebelum insiden tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan telah menjalankan operasi cegah jenayah dan mengesan suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Bezza.
“Polis mengejar suspek bermula dari Melor, namun suspek memecut kenderaannya dan terus dikejar sehingga tiba di lokasi kejadian,” jelas beliau.
Tambah beliau, suspek bertindak agresif apabila keluar dari tempat duduk pemandu dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis.
“Dalam usaha mempertahankan diri, pihak polis melepaskan tembakan balas, menyebabkan suspek maut di lokasi kejadian,” katanya.
Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek mendapati terdapat pistol separa automatik, pistol tiruan, parang, serta sebungkus tembakau yang dipercayai untuk diseludup masuk ke dalam penjara.
Mayat suspek telah dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, untuk proses bedah siasat.
Sumber: Harian Metro








