Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pemuda UMNO menegaskan pendirian mereka untuk terus memperjuangkan keadilan buat penjaja belon yang dikaitkan dengan insiden kekecohan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), meskipun lelaki itu memiliki lebih 100 rekod jenayah lampau.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, prinsip utama yang diperjuangkan bukan soal latar belakang seseorang, sebaliknya isu kezaliman yang perlu ditangani dengan adil dan bermaruah. Menurutnya, individu yang pernah terlibat dengan jenayah tidak boleh dianggap layak untuk dizalimi sewenang-wenangnya.
Rekod lampau bukan isu utama
“Pemuda UMNO membela abang belon bukan kerana dia ada 13 rekod jenayah, tetapi kerana dia dizalimi ketika sedang mencari rezeki. Dia diperlakukan secara kasar, tidak berperikemanusiaan. Kalau ikut logik sesetengah pihak, orang yang ada rekod jenayah boleh diperlakukan sebegitu sampai bila-bila?” katanya dalam satu video dimuat naik di TikTok, Sabtu lalu.
Terdahulu, media melaporkan abang belon mempunyai 13 rekod jenayah berkait dadah. Bagaimanapun, Dr Akmal menegaskan bilangan rekod lampau bukan isu utama kerana keadilan tetap harus ditegakkan, tanpa mengira status sosial atau sejarah lampau seseorang.
- ‘Reply titik pun jadilah’ – Abang JNT
- Lelaki maut ditembak di stesen minyak Bukit Tinggi
- Mikhael luah rasa syukur ibu lafaz syahadah
- Model Rusia buat laporan polis, dirakam TikToker buat live berunsur lucah
- 45 pelajar cemerlang ditolak universiti Korea Selatan kerana rekod buli
“Kalau yang terlibat anak menteri atau anak tauke besar yang ada kes dadah pun, tiada siapa bersuara. Tapi bila orang susah seperti abang belon, semua kecam. Ini tak adil. Kalau dia ada 100 rekod lampau sekalipun, itu kisah silamnya. Yang penting, dia telah dianiaya sekarang,” katanya lagi.
Banyak pihak maki Pemuda UMNO
Tambahnya, Pemuda UMNO tetap konsisten dalam mempertahankan mereka yang dizalimi, dan menolak pandangan bahawa pembelaan terhadap abang belon dilakukan secara melulu.
“Banyak pihak yang maki kami, kata kami tak siasat latar belakang. Tapi nak saya tanya, kalau kita nak hukum semua yang ada rekod jenayah, rasanya ramai orang besar pun tak layak duduk tempat mereka sekarang,” ujar Exco Kerajaan Negeri Melaka itu lagi.
Insiden berkenaan yang berlaku baru-baru ini ketika serbuan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap peniaga tanpa lesen, mencetuskan pergaduhan sehingga tular di media sosial. Ia turut membawa kepada pembukaan tiga kertas siasatan oleh polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebelum ini berkata, dua daripada tiga kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya melibatkan Seksyen 186 dan 325 Kanun Keseksaan. Satu lagi siasatan di bawah Seksyen 506 masih menunggu maklum balas SKMM.








