Pemuda 20 tahun jana RM7,000 sebulan daripada ladang sawit | The Reporter

Pemuda 20 tahun jana RM7,000 sebulan daripada ladang sawit

Pemuda 20 tahun jana RM7000 sebulan
Sumber gambar: Kosmo! Online

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang pemuda berusia 20 tahun di Tapah memilih bidang pertanian untuk mencari rezeki, berbeza dengan rakan sebayanya yang melanjutkan pengajian atau bekerja makan gaji.

Muhammad Hazim Mohd. Akhir, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berjaya memperoleh pendapatan sehingga RM7,000 sebulan hasil usaha gigih mengusahakan ladang sawit seluas 16 hektar yang terdiri daripada tanah keluarga dan pajakan.

Bermula sejak usia 12 tahun

“Saya mula membantu ayah sejak usia 12 tahun kerana minat selain melihat kesusahannya bekerja setiap hari dari subuh sampai ke petang.

“Ada yang kata sektor pertanian ini kotor, bahaya dan sukar, namun sekiranya kita membuat perancangan teliti ia tidak seperti yang digambarkan,” katanya.

Menurut Hazim, bapanya memantau semua aspek pengurusan ladang, termasuk meracun, membaja, dan mengait buah sawit sebelum dihantar ke kilang. Dua pekerja turut membantu memastikan operasi ladang berjalan lancar.

Selain itu, Hazim turut mengusahakan tanaman anak pokok kelapa sawit sebagai persediaan untuk menanam semula pokok tua yang tidak lagi menguntungkan. Harga sawit yang kini mencecah antara RM890 hingga RM950 satu tan serta kawalan perosak yang baik memberi pendapatan stabil sepanjang tahun.

Pilihan jangka panjang untuk masa depan

Seperti kebanyakan anak muda, Hazim juga mempunyai keinginan untuk memiliki kereta mewah dan gajet terkini. Namun, dia memilih untuk mendahulukan perancangan jangka panjang yang lebih memberi manfaat kepada masa depannya.

“Sebahagian besar gaji disimpan untuk membeli tanah bagi menambah tanaman sawit. Setakat ini, saya pendam dulu keinginan untuk membeli kereta mewah dan gajet canggih. Biarlah wang itu digunakan untuk menambah aset. Saya berazam untuk memiliki kediaman dan tanah sendiri sebelum mendirikan rumah tangga,” katanya.

Hazim juga mempelbagaikan sumber pendapatannya dengan mengusahakan tanaman lain seperti buluh, nanas, pisang, dan ternakan ruminan. Usahanya membuktikan sektor pertanian mampu menjana pendapatan lumayan jika diurus dengan baik.

Sumber: Kosmo! Online

Related Posts