Pempengaruh mohon maaf selepas tular guna perkataan jakun | The Reporter

Pempengaruh mohon maaf selepas tular guna perkataan jakun

Pempengaruh, Fahdi Ghazali tampil membuat permohonan maaf.
Fahdi Ghazali memohon maaf kepada rakyat Kelantan. Gambar: TikTok Fahdi Ghazali.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Baru-baru ini, tular satu video memaparkan seorang pempengaruh menggunakan perkataan jakun merujuk kepada rakyat Kelantan dalam sebuah program siaran langsung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan netizen, khususnya warga Kelantan, yang menyifatkan kenyataan tersebut sebagai biadab dan menghina.

Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa kurang senang dengan kenyataan itu, malah ada yang mendesak agar pempengaruh berkenaan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

Susulan kontroversi tersebut, pempengaruh yang dikenali sebagai Fahdi Ghazali akhirnya tampil membuat permohonan maaf menerusi satu hantaran video di akaun TikTok miliknya.

Baca juga:

“Saya nak minta maaf pada semua rakyat Kelantan yang berada di Kelantan dan yang terasa dengan video yang saya buat,” katanya dalam nada kesal.

Jelas Fahdi yang juga merupakan Pengarah Urusan kepada SIFOO International Sdn Bhd, niat sebenar kata-katanya telah disalah faham kerana menurutnya, sewaktu zaman universiti dahulu, perkataan jakun sering digunakan dalam konteks kagum atau teruja.

“Saya maksudkan, semasa saya berada di universiti dulu, perkataan jakun itu membawa maksud takjub melalui apa yang saya faham,” katanya lagi.

Bertanggungjawab atas kekhilafan

Dalam masa sama, Fahdi turut mengakui bahawa dia baru menyedari bahawa istilah jakun sebenarnya merujuk kepada satu kaum Orang Asli di Malaysia.

“Secara jujurnya, saya tak tahu langsung dan saya baru tahu perkataan jakun tu adalah perkataan orang asli. Saya bukan nak putar cerita, memang betul saya baru tahu,” ujarnya.

Fahdi turut mengakui kesilapan tersebut dan menegaskan dia bertanggungjawab penuh atas keterlanjuran kata-kata itu.

Selain isu kenyataan kontroversi, Fahdi turut menjelaskan kekeliruan mengenai pemakaiannya yang memakai kot dan bertali leher ketika mengunjungi sebuah gerai makanan popular. Menurutnya, ketika itu dia baru sahaja selesai menghadiri sebuah program di hotel berdekatan dan singgah ke gerai tersebut dalam perjalanan pulang.

Dalam video yang sama, dia juga menegaskan bahawa dirinya tidak terlibat dalam mana-mana parti politik, sekaligus menolak spekulasi yang mengaitkannya dengan agenda politik tertentu.

Related Posts