Pempengaruh ditahan polis, disyaki buat gangguan seksual menerusi panggilan video | The Reporter

Pempengaruh ditahan polis, disyaki buat gangguan seksual menerusi panggilan video

Gambar hiasan

Seorang pempengaruh ditahan polis selepas disyaki berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluan dan bercakap lucah kepada seorang wanita menerusi panggilan video.

Pempengaruh berkenaan yang berusia 27 tahun ditahan pada 2.25 petang semalam untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang wanita berusia 24 tahun yang dibuat pada 4.50 petang, 17 Mei lalu.

“Pengadu yang tidak bekerja mendakwa menerima panggilan video daripada seorang lelaki yang dikenalinya semasa berada di rumahnya di Taman Melewar.

“Hasil siasatan awal, pengadu berkenalan dengan suspek sejak awal bulan ini melalui laman sosial Instagram.

“Suspek membuat panggilan video kepada pengadu dan menunjukkan kemaluannya serta bercakap lucah dengan pengadu. Pengadu kemudian membuat laporan polis,” katanya.

Susulan itu, polis telah menahan suspek petang semalam sebelum dibebaskan dengan jaminan sebaik selesai keterangannya dirakam.

Menurut Mohamad Lazim,siasatan juga mendapati suspek dan pengadu pernah berjumpa sebelum ini.

Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Ujarnya lagi, kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati menggunakan media sosial dan tidak mudah terpedaya dengan individu baru dikenali.

Sumber: Harian Metro

Related Posts