Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan negeri Terengganu mengenakan kompaun terhadap pemilik sebuah resort persendirian setelah didapati menganjurkan aktiviti tanpa kelulusan.
Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris kompaun itu dikenakan selepas pihaknya mengadakan pertemuan bersama pemilik resort tersebut.
Siasatan mendapati pemilik premis tersebut telah melakukan kesalahan bawah Sub Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan & Tempat-tempat Hiburan 2002.
“Kita dapati penganjuran parti di resort itu dilakukan hampir saban tahun dan kini telah masuk tahun ke-10.
“Kegiatan itu dihentikan ketika Covid-19 sebelum ini dan kini dirancakkan kembali.
“Apa yang kita kesal ialah mereka tidak memaklumkan kepada pemegang taruh seperti pihak berkuasa, PBT dan pihak pelancongan sendiri malah penganjuran aktiviti itu tidak mendapat sebarang kelulusan atau permit,” katanya.
Dihentikan serta -merta
Tambahnya lagi, pihaknya juga mengarahkan supaya penganjuran aktiviti seperti pesta liar ‘Aloha’ yang diadakan di situ dihentikan serta-merta.

“Resort ini memiliki lesen dan boleh beroperasi seperti biasa, cuma kita akan arahkan pihak PBT dan pihak-pihak lain untuk memantau dan menyiasat sekiranya terdapat pelanggaran peraturan yang ditetapkan.
“Kita juga tidak lagi membenarkan mereka meneruskan acara seperti parti yang diadakan baru-baru ini,” katanya.
Terdahulu, tular gambar memaparkan wanita berpakaian mencolok mata menghadiri sebuah parti liar yang dipercayai diadakan di pulau Lang Tengah.
Sumber: Sinar Harian








