Pembunuh Along Spoon terlepas hukuman penjara sepanjang hayat, hukuman dipinda kepada penjara 33 tahun - The Reporter

Pembunuh Along Spoon terlepas hukuman penjara sepanjang hayat, hukuman dipinda kepada penjara 33 tahun

Bekas anggota polis, Mohamed Ya’cob Demyati yang membunuh penyanyi kumpulan Spoon era 90-an, Allahyarham Along terlepas hukuman penjara sepanjang hayat selepas Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis, meminda hukuman tersebut kepada penjara 33 tahun.

Keputusan dicapai panel hakim Mahkamah Persekutuan pada hari kedua persidangan hari ini selepas empat bulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023.

Mohamed Ya’cob Demyati, 57, sudah menjalani hukuman di Penjara Kajang selama 23 tahun sejak tarikh dia ditangkap pada 4 Januari 2000.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Hasnah Datuk Mohammed Hashim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan permohonan semakan ke atasnya.

Pada prosiding hari ini, Mahkamah Persekutuan mengetepikan hukuman kepada bekas anggota polis itu atas kesalahan membunuh Along atau nama sebenar Sabi’ul Malik Shafie yang terkenal pada era 90-an.

Hukuman diringankan

Mohamed Ya’cob sebelum ini diperintah menjalani hukuman mati namun ia diringankan kepada penjara sepanjang hayat selepas Lembaga Pengampunan membenarkan petisyen rayuannya.

Bagaimanapun, Mohamed Ya’acob terlepas daripada hukuman sebatan atas faktor usia kerana berumur lebih 50 tahun.

Pada 10 April 2002, Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhi hukuman mati selepas mendapati dia bersalah sepenuhnya dalam kejadian pembunuhan itu.

Mohamed Ya’cob antara 12 daripada 13 banduan terlepas daripada hukuman mati atau penjara sepanjang hayat selepas Mahkamah Persekutuan menukarkannya kepada penjara 30 tahun dan ke atas manakala banduan lain turut dikenakan hukuman 12 sebatan.

Pemohon adalah anggota cawangan pengawal pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dituduh membunuh Sabi’ul Malik yang ketika itu berusia 19 tahun di tepi jalan di Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu pada jam 1 pagi, 26 Disember 1999.

Terdahulu, Allahyarham Along yang popular dengan lagu Rindu Serindu Rindunya dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999. Polis kemudian menjumpai rangka manusia yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Januari 2000.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!