Semalam tersebarnya di media sosial gambar sebuah pasar raya di Selayang, didakwa menjual daging katak. Pendedahan yang dibuat oleh pemilik akaun X ‘FoodPorn Malaysia’, telah menimbulkan kegusaran orang ramai.
Menyedari pihaknya banyak menerima kecaman daripada orang ramai, jurucakap NSK Selayang hari ini tampil memberi penjelasan.
Dalam temu bual bersama BuzzKini, NSK mengakui apa yang berlaku adalah berpunca daripada kesilapan pihak pembekal yang tersilap menghantar daging haiwan itu kepada pihaknya pada Selasa, 24 Oktober.
Bekalan itu pula diuruskan oleh pekerja asing yang tidak mengetahui mengenai daging tersebut. Lalu diletak bersebelahan dengan ikan di bahagian barang basah.
Perkara itu disedari oleh seorang pekerja NSK Selayang dan terus memaklumkan kepada penyelia agar daging tidak halal itu tidak diletakkan di bahagian tersebut,
NSK turut menegaskan, pihaknya tidak menjual daging katak kepada pelanggan dan memberi jaminan agar kesilapan yang berlaku ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.
Sumber: BuzzKini