Pemandu Xpander merah akhirnya tampil bantu siasatan | The Reporter

Pemandu Xpander merah akhirnya tampil bantu siasatan

Kenyataan media PDRM mengenai pemandu Xpander merah tampil bantu siasatan kes kemalangan maut di KM 264.7.
Video dashcam yang tular di media sosial

Polis mengesahkan siasatan berhubung kemalangan maut di KM 264.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada 30 Mac lalu masih diteruskan, termasuk mengambil keterangan daripada pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Xpander berwarna merah yang tular dalam satu rakaman video insiden.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin bin Abang Ahmad, individu berkenaan telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk memberikan keterangan dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan bagi menilai sama ada terdapat kaitan kenderaan itu dengan kejadian.

Dalam pada itu, pemandu Perodua Bezza yang juga suami kepada mangsa kemalangan dilaporkan masih mengalami trauma dan kesukaran untuk bercakap akibat kecederaan di bahagian mulut yang memerlukan 15 jahitan. Beliau kini menetap bersama keluarganya di Tanjung Malim.

Tambah polis, ahli keluarga mangsa turut membuat laporan pada 4 April jam 10.42 malam berhubung kehilangan barang kemas milik mangsa. Laporan tersebut telah diterima dan kini menjadi sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan.

Siasatan kes kini berjalan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 melibatkan pelbagai sudut, termasuk laporan forensik, rakaman dashcam, dan keterangan saksi bagi merungkai gambaran sebenar kejadian.

Orang awam yang mempunyai maklumat atau rakaman dashcam diminta tampil membantu dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Mohamad Faiz bin Abdul Khalim di talian 018-372 8477. PDRM juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada siasatan dijalankan secara adil dan menyeluruh.

Related Posts