Pemandu van sekolah lawan arus ditahan, kenderaan disita | The Reporter

Pemandu van sekolah lawan arus ditahan, kenderaan disita

Van sekolah dipandu melawan arus ketika hujan di Pontian
Tangkap layar video tular merakamkan sebuah van dipandu melawan arus.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki berusia 64 tahun ditahan selepas dipercayai memandu sebuah van sekolah secara melawan arus dalam kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, pihaknya mengesan rakaman video kejadian itu di Facebook. Video berkenaan memaparkan sebuah van sekolah dipandu secara melawan arus ketika keadaan hujan, sekali gus mengundang kebimbangan orang ramai.

Menurut beliau, hasil siasatan lanjut mendapati kejadian tersebut dipercayai berlaku di susur masuk persimpangan Jalan Taman Pontian Utama, Kilometer 55.9 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian telah mengenal pasti pemilik serta pemandu van terbabit sebelum mengarahkannya hadir ke IPD Pontian untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, lelaki itu hadir ke balai polis bersama kenderaan dipandunya sebelum ditahan kira-kira jam 11 pagi pada hari sama. Polis turut menyita van sekolah jenis Placer-X yang digunakan dalam kejadian tersebut.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku memandu van berkenaan seperti dalam rakaman tular. Tindakan itu boleh membahayakan pengguna jalan raya lain serta dirinya sendiri,” katanya.

Baca juga:

Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek negatif dadah, manakala semakan rekod lampau juga menunjukkan tiada sebarang kesalahan terdahulu direkodkan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000, serta hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang lima tahun jika sabit kesalahan.

Related Posts