Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan Malaysia mengenakan larangan kepada kenderaan asing daripada mengisi petrol bersubsidi RON95 di stesen minyak tempatan. Langkah ini bertujuan memastikan subsidi bahan api hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia serta mengelakkan penyalahgunaan subsidi oleh kenderaan luar.
Baru-baru ini, satu kes melibatkan seorang pemandu kenderaan dari Singapura yang didakwa menukar plat nombor kenderaannya kepada plat Malaysia bagi mengisi petrol bersubsidi tular di media sosial.
Pengguna Facebook, Kabhi Morgan, berkongsi kejadian tersebut dengan memuat naik gambar kenderaan berdaftar Singapura dengan nombor plat SLA 9871X, yang dilihat menukar plat kepada nombor Malaysia di sebuah stesen minyak tempatan.
Panik & segera beredar selepas ditegur
Dalam hantaran tersebut, Kabhi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan pemandu asing yang dianggapnya tidak menghormati undang-undang Malaysia.
“Para pemandu dari Singapura atau kenderaan asing yang memasuki Malaysia, sila beringat bahawa anda perlu mematuhi dan menghormati undang-undang Malaysia. Lelaki dalam gambar ini menukar plat nombor kenderaannya dari plat Malaysia ke plat Singapura hanya untuk mengisi petrol bersubsidi.
“Selepas mengisi minyak, dia kembali menukar plat kepada plat Singapura. Saya nampak dan menyoalnya, dia kelihatan panik dan terus memandu keluar dengan cepat,” tulis Kabhi dalam hantaran tersebut.
“Dia tukar nombor plat dengan cepat dan campak plat Malaysia ke dalam bonet belakang. Saya minta dia buka supaya boleh ambil gambar atau video. Tetapi, dia kunci pintu dan terus melarikan diri.
“Saya telah membuat laporan polis yang dia mungkin terlibat dalam penyeludupan dadah atau mungkin memiliki senjata, supaya pihak polis mengambil kes ini dengan lebih serius,” tambahnya.


Dakwaan pengadu dipertikai
Perbuatan lelaki itu mencetuskan kemarahan netizen yang menyifatkan tindakannya sebagai satu cubaan memperdaya undang-undang yang melarang kenderaan asing daripada mengisi petrol bersubsidi.
Bagaimanapun, ada beberapa individu yang mempertikaikan dakwaan Kabhi.
Siti Musliha berkata, “Latar belakang gambar tidak kelihatan seperti mana-mana tempat di Malaysia? Sudi kongsi lokasi? Ada gambar kereta yang sama, dengan pemandu yang sama dan plat Malaysia di stesen minyak untuk membuktikan dia benar-benar mengisi petrol bersubsidi? Berkongsi gambar kenderaan dengan nombor plat, tetapi tidak berkongsi gambar laporan polis? Mencurigakan ni.”

Sementara itu, seorang lagi netizen, EB Chai, menyokong pandangan Siti Musliha dengan menyatakan gambar tersebut mungkin sekadar cerita yang direka untuk memburukkan pemandu Singapura.
“Mungkin dia bergaduh dengan pemilik kereta dari Singapura ini di jalan raya. Kemudian ambil gambar dan buat cerita untuk memburukkan dia,” katanya.

Sementara itu, Oriental Daily melaporkan, IPD Iskandar Puteri dan IPD Johor Bahru Selatan menyatakan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.








