‘Pelanggan tak datang untuk jaga ego awak’, Jason tegur peniaga defensif | The Reporter

‘Pelanggan tak datang untuk jaga ego awak’, Jason tegur peniaga defensif

Jason bercakap dalam video mengenai isu peniaga yang tidak boleh ditegur dan bertindak membuli pelanggan
Jason minta kejujuran dihargai, bukan dibalas dengan ugutan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pengulas makanan popular, Jason, tampil menyuarakan kebimbangan terhadap trend segelintir peniaga yang didakwa ‘membuli’ pelanggan serta pencipta kandungan yang memberikan ulasan jujur mengenai perkhidmatan atau produk mereka.

Menerusi sebuah video yang dimuat naik di media sosial, Jason meluahkan rasa kecewa dengan sikap sesetengah pemilik perniagaan yang tidak boleh ditegur langsung. Lebih teruk, mereka lebih memilih untuk mempertahankan ego daripada memperbaiki mutu produk.

“Kalau makanan tak sedap, diam je. Ayat macam ni menunjukkan ego anda lebih tinggi daripada pengalaman pelanggan. Perkara ini jelas menunjukkan anda tiada rasa hormat kepada suara pengguna,” katanya tegas.

Menurut Jason, ramai peniaga kini dilihat cepat melenting apabila menerima kritikan meskipun secara beradab. Ada yang terus mengugut tindakan undang-undang, memalukan pelanggan secara terbuka atau memburukkan individu yang memberi maklum balas di platform mereka.

“Feedback jujur tu sebahagian daripada perjanjian tak rasmi antara pelanggan dan peniaga. Kalau anda ugut tindakan undang-undang hanya kerana rasa orang lain tak sama dengan anda, itu bermakna anda takut,” jelasnya lagi.

Beliau turut menekankan bahawa bukan semua review berniat jahat atau mahu menjatuhkan, dan masyarakat hari ini sudah semakin bijak menilai mana satu ulasan yang berasas dan mana satu sekadar mencari perhatian. 

Dalam nada tenang namun lantang, Jason mengajak masyarakat untuk tidak takut bersuara, terutama dalam memperjuangkan hak sebagai pengguna.

“Saya buat review jujur bukan sebab dibayar, tapi sebab ada komuniti yang percaya dengan saya. Sokongan yang mereka beri itu yang membuatkan saya mempunyai ruang untuk terus buat review secara jujur walaupun di sebalik kamera,” katanya lagi.

Jason mengingatkan bahawa dalam dunia perniagaan, pengguna adalah tulang belakang dan suara mereka bukan sekadar aduan, tetapi satu peluang penambahbaikan.

 “Peniaga perlukan pelanggan, bukan sebaliknya,” katanya mengakhiri video dengan mesej penuh makna.

Video tersebut turut mendapat pelbagai reaksi positif dari warganet yang menyokong mesej Jason, menyifatkannya sebagai suara penting dalam menyeimbangkan kuasa antara perniagaan dan pengguna.

Related Posts