• Pelajar dakwa bas dipandu laju sebelum terbabas di Tasik Banding
• 15 pelajar UPSI disahkan maut dalam kemalangan ngeri
• Mangsa terselamat trauma, kongsi pengalaman saat kejadian
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dalam kemalangan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), seorang mangsa terselamat tampil mendakwa bas yang mereka naiki dipandu dalam keadaan laju sebelum hilang kawalan dan terbabas di Jalan Gerik–Jeli berhampiran Tasik Banding, awal pagi Isnin.
Nik Khairulnisa Ruzmi, 23, pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah), berkongsi pengalaman mencemaskan itu ketika ditemui wartawan.
Menurutnya, semua penumpang sedang tidur ketika bas dalam perjalanan pulang ke kampus selepas cuti Aidiladha.
“Saya duduk di bahagian kanan, tengah bas. Ketika kejadian, saya sedang tidur dan tiba-tiba terjaga sebab terasa laju sangat… tahu-tahu dah terbabas,” katanya yang masih trauma mengenangkan kejadian.
Dia turut memberitahu bas tersebut bukanlah bas rombongan rasmi universiti, sebaliknya bas persiaran yang disewa khas dari Besut, Terengganu.
“Bas itu kami naik di hadapan Masjid Hadhari, Jerteh. Ia bukan bas universiti. Saya pelik sebab rasa macam laju sangat malam tu.”
Menurut Nik Khairulnisa lagi, keadaan dalam bas ketika itu sangat sunyi dan selepas hentakan kuat berlaku, dia cuba memanggil rakan-rakan namun tiada yang menyahut.
“Saya cuba panggil kawan, tapi senyap. Tak pasti siapa yang selamat,” katanya.
Terdahulu, kemalangan yang berlaku sekitar jam 1 pagi itu melibatkan sebuah bas yang membawa 42 pelajar UPSI dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Sumber : Sinar Harian








