Dalam Islam, setiap pekerjaan yang dilakukan perlu bebas dari segala unsur yang boleh mendekatkan ke arah perkara yang bertentangan dengan Islam.
Justeru itu juga, individu digalakkan untuk mencari pekerjaan yang halal dan terjamin.
Situasi ini juga membuatkan ramai yang keliru dengan status pekerjaan masing-masing. Menerusi satu perkongsian daripada Mufti Wilayah, ada individu yang mempersoalkan hukum bekerja di bank konvensional.
Menurut kenyataan tersebut, bank konvensional adalah melibatkan muamalat riba.
“Perbezaan yang ketara antara bank konvensional dan bank islamik di sini boleh dilihat pada keuntungan dalam perbankan Islam diperoleh daripada transaksi yang dibenarkan oleh syarak seperti kontrak jual beli.
“Manakala faedah dalam perbankan konvensional pula, diperoleh secara langsung daripada kontrak pinjaman dan ini tidak dibenarkan oleh syarak kerana membawa kepada riba,” katanya.
Jelasnya lagi, mereka yang terlibat secara langsung dengan transaksi riba, maka pekerjaan itu hukumnya haram. Namun, mereka yang tidak terkait langsung dengan transaksi riba pekerjaanya adalah harus.
Justeru itu, individu yang bekerja dalam dunia bank pekerjaan konvensional, dinasihatkan supaya berusaha sebaik mungkin untuk mencari pekerjaan halal yang lain.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan