Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengukuhan matawang Ringgit biasanya dianggap perkembangan positif, namun bagi ramai rakyat Malaysia yang kerja Singapura, keadaan ini memberi tekanan besar kepada pendapatan mereka.
Di platform Xiaohongshu (XHS), ada yang meluahkan kadar tukaran SGD-MYR yang kini sekitar 1 SGD = RM3.17 membuatkan gaji mereka terasa seperti ‘dipotong’.
Seorang pengguna menulis, orang selalu menganggap berkerja di Singapura itu senang dan bergaji besar, tetapi hakikatnya apabila kadar tukaran jatuh, duit yang dihantar balik ke Malaysia semakin sedikit. Bagi mereka, hilangnya kelebihan kadar tukaran itu sama seperti kehilangan sebahagian gaji bulanan.
Baca juga:
- Imigresen serbu restoran popular, 101 pekerja asing ditahan kerana kerja tanpa permit
- Lelaki maut dalam kebakaran unit kondominium di Mont Kiara
- ‘Saya rayu PMX jangan iktiraf UEC’ – Akmal Saleh


Nilai kiriman makin susut, tetapi komitmen tetap sama
Ramai pekerja mendedahkan sebahagian besar pendapatan mereka habis kepada sewa, pengangkutan dan makan di Singapura. Baki kecil itulah yang dihantar ke Malaysia untuk menampung pinjaman rumah, kereta, keperluan anak atau ibu bapa.
Apabila kadar tukaran rendah, ada yang hilang antara RM80 hingga RM150 setiap bulan. Jumlah itu mungkin nampak kecil kepada orang lain, tetapi bagi mereka itulah duit barang dapur seminggu atau belanja anak sekolah. Ada yang terpaksa kurangkan kiriman kepada keluarga, ada yang mula berjimat lebih ketat untuk menampung perbezaan.
Netizen tidak sependapat
Bagaimanapun di ruangan komen, isu ini mengundang pelbagai reaksi netizen. Ada yang bersimpati dengan tekanan hidup mereka yang berkerja di Singapura, namun ramai juga yang tidak bersetuju dengan rungutan tersebut.
Katanya, pekerja di luar negara sepatutnya cuba hidup dengan gaji Malaysia terlebih dahulu sebelum mendakwa diri mereka terkesan begitu teruk. Ada juga yang berpendapat jika Ringgit terus mengukuh, lebih ramai rakyat boleh kembali bekerja di negara sendiri dan tinggal bersama keluarga, tanpa perlu bergantung pada pendapatan luar negara.
Sebahagian lagi berpendapat rakyat tidak wajar berharap mata wang sendiri lemah hanya untuk mendapatkan lebih banyak Ringgit apabila menukar pendapatan mereka dari Dolar Singapura. Mereka mengingatkan kestabilan Ringgit sebenarnya lebih penting kepada rakyat yang tinggal di Malaysia, termasuk keluarga pekerja itu sendiri.
Sumber: Weird Kaya








