Memandu dengan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya adalah tanggungjawab setiap pemandu. Adab ketika memandu bukan sahaja memastikan keselamatan diri sendiri, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.
Pemandu harus sentiasa bersikap sabar, bertimbang rasa, dan menghormati undang-undang lalu lintas untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Tular di media sosial semalam, sebuah video menunjukkan seorang lelaki dimarahi oleh pemandu kereta yang memandu melawan arus.
Kejadian yang berlaku di Putra Height sekitar jam 5.07 petang Rabu itu tidak melibatkan sebarang sentuhan fizikal dan hanya sekadar pertikaman mulut sahaja.
Berdasarkan video berdurasi satu minit itu, pengadu membuka tingkap dan mengingatkan bahawa jalan tersebut merupakan jalan sehala. Namun, pemandu terbabit menegaskan bahawa dia mahu pergi ke kedai berdekatan dan pengadu tidak sepatutnya menghalang laluannya.
“Aku nak pergi dekat sini, kau jangan nak tunjuk muka. Kau ingat kau gangster ke? Tak nampak ke kereta aku lalu kat sini? Kimak punya budak,” katanya.
Pengadu kemudian mengingatkannya untuk tidak berkelakuan melampau kerana kenderaannya dilengkapi dashcam. Namun, lelaki itu tidak gentar.
“Peduli apa aku, kau ada dashcam. Budak muda lagi tak tau nak hormat orang ke? Piirrahh kau, ptuih!” katanya sambil meludah.
Pengadu kemudian mengajak lelaki itu ke balai, tetapi tidak diendahkan.
Video tular itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang menyelar sikap biadab yang ditonjolkan oleh pemandu terbabit.