PDT Kuala Pilah nafi layanan dua darjat, tindakan ikut undang-undang | The Reporter

PDT Kuala Pilah nafi layanan dua darjat, tindakan ikut undang-undang

Jentera ekskavator kuning di atas timbunan tanah dengan latar langit cerah
Foto hiasan

Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah (PDTKP) menegaskan tindakan merampas sebuah jentera yang menjalankan kerja pembersihan tanpa kebenaran di tanah rizab sungai adalah selaras dengan peruntukan undang-undang.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Nawal Mohamed Amin, berkata tindakan itu diambil selepas menerima aduan mengenai aktiviti pencerobohan tanah kerajaan di Kampung Tering, Johol, pada 13 Februari lalu.

“Anggota penguat kuasa PDTKP ke lokasi sekitar 3.15 petang dan mendapati sebuah jentera jenis ekskavator sedang menjalankan kerja pembersihan tanah atas rizab sungai milik kerajaan,” katanya.

Tiada kebenaran diberikan

Hasil semakan pihaknya mendapati tiada kebenaran diberikan oleh pihak berkuasa. Pemilik jentera diarahkan menghentikan operasi serta-merta dan menyerahkan kunci kepada penguat kuasa. Jentera itu kini disimpan di Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Pilah.

“Melakukan kerja tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan adalah kesalahan di bawah perenggan 425(1)(b) KTN. Jika sabit, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam kenyataan tersebut, beliau juga mengulas dakwaan layanan dua darjat seperti yang tular di media sosial. Beliau menegaskan, tindakan diambil secara teratur dan berlandaskan undang-undang.

“PDTKP turut mengambil tindakan awal untuk mengelakkan kerosakan lebih besar terhadap tanah kerajaan di lokasi terbabit. Sebarang kerja membabitkan tanah kerajaan perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Pentadbir Tanah.

“Kebenaran penting bagi memastikan kerja menepati piawaian teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), lebih-lebih lagi tanah itu termasuk dalam rizab Sungai Jelai dan kawasan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dijangka siap pada 2029.

“Kerja pembersihan tanpa kawalan boleh mengundang kesan buruk, terutama kepada penduduk kampung yang saban tahun terpaksa berdepan masalah banjir,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang awam, khususnya bukan anak tempatan Kuala Pilah, agar mendapatkan nasihat pihak berkuasa sebelum menjalankan aktiviti di tanah kerajaan.

Related Posts