Malaysia menyambut ketibaan sepasang Panda Gergasi (Giant Panda) baharu dari Republik Rakyat China (RRC), sekali gus menandakan kesinambungan hubungan strategik dan persahabatan erat antara kedua-dua negara.
Pasangan panda tersebut, seekor jantan bernama Chen Xing dan seekor betina bernama Xiao Yue, selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8.30 malam tadi. Menurut kenyataan media Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), ketibaan haiwan ikonik itu melambangkan simbol integriti dan hubungan diplomatik yang berterusan antara Malaysia dan China.
NRES memaklumkan bahawa ketibaan pasangan panda ini adalah sebahagian daripada Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda yang diteruskan melalui pemeteraian perjanjian baharu pada 16 April 2025, sempena Lawatan Negara Presiden RRC ke Malaysia.
Perjanjian berkenaan membolehkan Malaysia menerima sepasang Panda Gergasi yang lebih muda untuk tempoh 10 tahun, bermula dari 2025 hingga 2035.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Ditempatkan di Zoo Negara, jalani kuarantin 1 bulan
Setibanya di tanah air, Chen Xing dan Xiao Yue dibawa ke Pusat Konservasi Giant Panda di Zoo Negara, yang baru sahaja dinaik taraf bagi menyediakan persekitaran lebih kondusif, selamat dan selesa.
Kedua-dua panda berkenaan akan menjalani tempoh kuarantin wajib selama sebulan, yang dipantau oleh pasukan doktor haiwan serta penjaga berpengalaman sebelum dibuka untuk tontonan umum.
Sebelum ini juga tular video yang merakamkan perjalanan pasangan panda ini yang dibawa menuju ke Zoo Negara.
Sumber: NRES








