Pas jangan tunggang isu Kampung Sungai Baru, tegas Rafizi | The Reporter

Pas jangan tunggang isu Kampung Sungai Baru, tegas Rafizi

Rafizi Ramli tersenyum sambil meletakkan jari di bibir ketika menghadiri majlis rasmi.
Rafizi Ramli ingatkan Pas jangan tunggang isu Kampung Sungai Baru yang berlaku ketika PN berkuasa. | Kredit gambar: The Star

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Datuk Seri Rafizi Ramli memberi amaran kepada PAS agar tidak memperalatkan penderitaan penduduk Kampung Sungai Baru demi meraih sentimen politik. Beliau menegaskan isu berkenaan berlaku ketika parti itu berada dalam kerajaan, bukannya di bawah pentadbiran sekarang.

Rafizi mengingatkan bahawa pengambilalihan tanah di kawasan itu dilakukan pada 2021 ketika Perikatan Nasional (PN) berkuasa. Katanya, bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd Harun, sepatutnya bertindak lebih awal sebelum kes meleret ke mahkamah.

“Yang gagal ialah PN kerana perkara ini berlaku betul-betul di bawah pentadbiran mereka. Mereka tidak mampu atau tidak cukup berusaha untuk berunding mendapatkan syarat yang lebih baik,” katanya menerusi podcast Yang Berhenti Menteri seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Baca juga:

Nada PAS Akan Berubah?

Beliau turut mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang memberi amaran pengusiran Kampung Sungai Baru adalah isyarat awal jika Rang Undang-undang Pembangunan Semula Bandar (PSB) diluluskan.

Rafizi menyindir bahawa PAS mungkin sahaja akan mengubah nada sekiranya kembali berkuasa selepas pilihan raya.

“Lebih baik supaya parti-parti politik jangan menunggang orang susah, menunggang penduduk Kampung Sungai Baru. Sekarang nak menunggang siapa lagi semata-mata untuk menimbulkan sentimen dan kemarahan?

“Kalau tengok rekod berkaitan Kampung Sungai Baru, apa-apa yang PAS cakap pun, PAS kena jelaskan, sebenarnya semasa kamu jadi kerajaan apa yang kamu buat,” ujarnya.

Kontroversi pengosongan rumah

Kampung Sungai Baru menjadi tumpuan sejak sebahagian penduduk enggan mengosongkan kediaman mereka kerana tidak berpuas hati dengan nilai pampasan, penempatan semula dan proses pengambilan tanah yang didakwa tidak telus.

Pengambilalihan tanah dibuat pada 2021 melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 sebelum diserahkan kepada pemaju. Arah pengosongan terbaru minggu lalu merupakan percubaan kedua selepas tindakan sama pada Julai melibatkan 14 penduduk di kawasan bersebelahan Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Related Posts