Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau tidak akan menjadi calon Perdana Menteri ke-11 sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Katanya, usia lanjut bukan lagi faktor sesuai untuk memikul tanggungjawab sebesar itu, sebaliknya beliau hanya melihat dirinya lebih sesuai sebagai penasihat.
Menurut Abdul Hadi, PAS memberi tumpuan penuh untuk memenangi PRU16 sebelum menentukan siapa calon Perdana Menteri. Soal kepimpinan hanya akan diputuskan kemudian secara dalaman bersama parti gabungan PN.
Beliau menekankan garis panduan memilih pemimpin seperti terkandung dalam al-Quran, seseorang itu mesti berilmu, berintegriti dan memiliki kesihatan yang baik.
“Umur saya sudah 78 tahun, jadi untuk jadi Perdana Menteri tak layak. Jadi penasihat bolehlah. Biar orang muda dan kuat tubuh yang pimpin,” katanya, lapor Harian Metro.
Baca juga:
- BERSATU pandang serius kenyataan Presiden PAS
- ‘PAS akan menilai semula kerjasama dengan BERSATU’ – Hadi Awang
- ‘Rafizi, Nik Nazmi tergugur keahlian PKR’ – Fuziah Salleh
Cari pemimpin berwibawa dalam PAS
Abdul Hadi turut menambah, ramai tokoh dalam PAS yang berpotensi menjadi Perdana Menteri, khususnya daripada kalangan akademik dan profesional. Baginya, kepimpinan negara perlu dilaksanakan secara kolektif dengan Kabinet seimbang antara ahli politik dan teknokrat yang boleh dilantik sebagai senator.
“Memimpin adalah amanah besar. Jika laksana dengan baik dapat pahala, jika gagal, balasannya neraka. Sebab itu ramai orang takut jadi pemimpin,” jelas beliau.
Kenyataan Abdul Hadi ini sekali gus menutup spekulasi bahawa beliau berhasrat menduduki kerusi Perdana Menteri. Fokusnya kini lebih kepada memastikan kemenangan PN dalam PRU16 dan menyerahkan soal calon PM kepada generasi lebih muda dalam parti dan gabungan.








