Pandu melulu, bahayakan kenderaan lain, 5 pemandu Lamborghini telah diambil keterangan | The Reporter

Pandu melulu, bahayakan kenderaan lain, 5 pemandu Lamborghini telah diambil keterangan

Sumber gambar: Video tular di media sosial

Lima pemandu kereta Lamborghini berusia 44 hingga 64 tahun yang didapati memandu secara berbahaya ketika konvoi di Lebuhraya Senai-Desaru baru-baru ini, telah diambil keterangan oleh polis.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya terdahulu mengesan video tular membabitkan kenderaan mewah yang dipandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain, pada jam 10 pagi tadi.

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi kemudian berjaya mengesan kenderaan kumpulan terbabit di Desaru pada jam 11.40 pagi.

Siasatan awal mendapati, kumpulan berkenaan menghadiri program di Penawar. Dalam video tular, mereka dalam perjalanan dari Senai menuju ke Bandar Penawar.

Tetapi ketika dalam perjalanan, mereka didapati memotong kenderaan lain secara melulus termasuk di jalan garisan berkembar. Tindakan mereka menyebabkan kenderaan di laluan bertentangan terpaksa menghimpit bahu jalan untuk mengelak kemalangan yang tidak diingini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Polis juga menasihatkan orang awam tidak memandu sedemikian dan melakukan aksi-aksi yang berbahaya yang boleh menjadi punca kemalangan maut.

Sumber: Harian Metro, Kosmo! Online

Related Posts