Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pengguna TikTok meluahkan rasa kecewa terhadap perkhidmatan bas RapidKL laluan 772 yang didakwa sering lewat dan gagal menampung jumlah penumpang pada waktu puncak.
Menurut pengguna tersebut, tiada bas disediakan untuk trip pertama pada jam 6.50 pagi, manakala trip kedua hanya menggunakan bas satu tingkat. Keadaan ini berbeza daripada kebiasaan di mana bas dua tingkat disediakan, namun masih tidak mencukupi terutama jika trip pertama tiada.
Masalah menjadi lebih serius apabila ramai penumpang warga asing dilihat berebut masuk dari pintu depan tanpa mengikut peraturan, menyebabkan kekecohan dan menyukarkan penumpang lain untuk turun. Keadaan dalam bas turut digambarkan sesak dan berhimpit-himpit sehingga bas terpaksa melangkau hentian berikutnya kerana sudah terlalu penuh.
Pengguna itu turut mendakwa isu ini berlaku hampir setiap kali trip pertama tidak dijalankan. Beliau menyatakan bahawa penumpang warga asing tidak beratur dan suka menolak-nolak ketika menaiki bas, sekali gus menyulitkan perjalanan harian penumpang lain termasuk warga emas, pelajar dan pekerja.
Dalam perkongsian itu, beliau merayu agar RapidKL mengambil serius masalah ini dan menghantar bas dua tingkat pada waktu puncak serta memastikan jadual perjalanan dipatuhi.
Menurutnya, walaupun ramai pendatang asing menggunakan laluan ini di Subang Perdana, jumlah warga tempatan yang bergantung kepada laluan 772 juga sangat besar.
Video aduan tersebut menerima pelbagai reaksi daripada pengguna lain yang turut berkongsi pengalaman serupa dan berharap agar pihak RapidKL memberi perhatian segera terhadap isu yang berlarutan ini.
Sumber : TikTok usernotfound








