Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Akhbar mingguan Wilayahku yang diterbitkan oleh YWP Media Sdn. Bhd. sejak Januari 2019 telah menamatkan operasinya berkuat kuasa serta-merta pada 1 Julai 2025.
Menerusi memo dalaman, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Dr. Abdul Basir V. Kunhimohamed memaklumkan keputusan itu diambil susulan keadaan kewangan syarikat yang semakin kritikal dan tidak memungkinkan kelangsungan operasi.
Menurutnya, keputusan penutupan telah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah YWP Media Bil. 2/2025 pada 30 Jun, dan diluluskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa pada Mesyuarat Pelaksanaan Tindakan Segera ALPA Bil. 2/2025 yang diadakan pada 4 Julai lalu.
“Sehubungan itu, semua perkhidmatan kakitangan sama ada tetap mahupun kontrak ditamatkan berkuat kuasa 1 Julai mengikut terma dalam surat tawaran masing-masing. Surat rasmi penamatan akan dikeluarkan Jabatan Sumber Manusia YWP Media selewat-lewatnya 8 Julai,” katanya.
Akhbar edaran percuma di tiga wilayah
Wilayahku dilancarkan pada 4 Januari 2019 dan berfungsi sebagai platform media warga kota bagi mengetengahkan isu semasa serta mempromosikan lokasi dan aktiviti menarik di Wilayah Persekutuan termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Ia mengandungi 24 halaman dan diedarkan secara percuma di kawasan terbabit.
Akhbar ini dimiliki YWP Media Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Yayasan Wilayah Persekutuan. Pada Mei 2023, pengarah dan aktivis seni, Datuk Afdlin Shauki dilantik sebagai Pengerusi YWP Media, sebelum menyertai Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 14 Julai tahun yang sama.
Masalah kewangan kritikal
Dalam pada itu, memetik laporan Malaysiakini, Ketua PKR Setiawangsa merangkap Pengerusi YWP Media, Datuk Afdlin Shauki mengesahkan penutupan operasi akhbar Wilayahku.
Menurut beliau, penutupan itu terpaksa dilakukan susulan masalah kewangan yang semakin meruncing, antaranya berpunca daripada tunggakan bayaran oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Ya, sangat malang apabila Wilayahku terpaksa ditutup. Ini kerana kami tidak lagi mampu meneruskan operasi berikutan isu-isu berkaitan kontrak yang tidak dibayar oleh DBKL.
“Oleh itu, kami terpaksa menanggung pelbagai kos dan akhirnya membuat keputusan untuk menghentikan operasi sehingga segala urusan dengan DBKL diselesaikan,” katanya.

Memetik laporan tersebut juga, sekurang-kurangnya 15 kakitangan editorial memaklumkan bahawa mereka mula menerima gaji lewat sejak Mac lalu, dan sehingga kini, gaji bagi bulan Jun masih belum dijelaskan.
Sumber: MalaysiaGazette, Malaysiakini.








