Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang peniaga wanita yang dibunuh secara kejam ketika menghantar pesanan makanan di sini kelmarin dipercayai mengalami penderitaan dahsyat sebelum meninggal dunia apabila kepalanya dipukul dengan objek keras.
Mayat mangsa, Norshamira Zainal, 37, ditemukan di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur selepas dilaporkan hilang selama 17 jam. Mangsa dilaporkan keluar dari rumah sekitar jam 7.30 malam Rabu lalu untuk menghantar sambal ikan bilis garing kepada pelanggan yang juga merupakan suspek utama dalam kes ini.
Siasatan mendapati beberapa barang kemas milik mangsa yang dianggarkan bernilai puluhan ribu ringgit turut lesap, dipercayai dilarikan suspek selepas kejadian.
Suami terkejut, pernah bertemu suspek dua kali

Suami mangsa, Muhammad Afiq Akmal Nudin, 31, mendedahkan bahawa dia pernah bertemu dengan suspek sebanyak dua kali ketika menemani isterinya menghantar pesanan COD.
“Dia nampak baik dan peramah, tak sangka rupa-rupanya bertopengkan syaitan sampai sanggup bunuh isteri saya.
“Saya masih ingat lagi dia pernah ajak saya mencandat sotong dan belanja makan ikan bakar,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) semalam.
Kesungguhan arwah mencari rezeki
Sebelum kejadian, Allahyarham Norshamira sempat melakukan jualan langsung (direct selling) untuk mempromosikan produk sambalnya.
Dalam satu rakaman video yang tular di TikTok, arwah kelihatan gigih menjual sambalnya meskipun dalam keadaan tidak sihat.
“Sakit tekak akak dah ni. Ya Allah, tak sabar nak balik ni,” kata Norshamira kepada pelanggan dalam video berkenaan.
Tindakan arwah membantu seorang ibu OKU mencari anaknya yang hilang pada malam itu juga mendapat perhatian netizen. Ramai yang sebak melihat kegigihan Allahyarham mencari rezeki sehingga larut malam.
Terdahulu, seorang lelaki berusia 53 tahun yang dipercayai suspek utama kes ini telah berjaya ditahan dalam serbuan polis di sebuah rumah di Wakaf Tembusu Gong Badak, Kuala Terengganu. Turut dirampas bersama suspek ialah sebentuk cincin, wang tunai, pakaian serta beberapa dokumen yang boleh membantu siasatan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Kosmo! Online








