Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pemandu wanita yang terbabit dengan kemalangan maut yang meragut nyawa tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada 9 Oktober lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Dungun atas tuduhan membunuh.
Norizan Ismail, 49, dituduh atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dengan setiap pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.
Tertuduh didakwa bertanggungjawab atas kematian Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20, dalam kejadian yang berlaku di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun, pada jam 7.35 malam, 9 Oktober lalu.
Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati, atau penjara sekurang-kurangnya 30 tahun dan maksimum 40 tahun. Jika tidak dihukum mati, tertuduh juga berpotensi dikenakan hukuman sebatan sebanyak tidak kurang daripada 12 kali.
Mahkamah turut mengarahkan ibu kepada tiga anak itu menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru, dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 17 November depan.
Sumber: Harian Metro