Penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin menarik balik permohonan cerai terhadap suaminya, Dr Rushdi Ramli, sekali gus bersetuju untuk meneruskan perkahwinan mereka dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, hari ini.
Peguam syarie mewakili Dr Rushdi, Azmi Mohd Rais memaklumkan, penarikan balik permohonan itu dibuat selepas Nora menetapkan syarat agar tiada sebarang gangguan daripada pihak ketiga.
Hakim Syarie Ahmad Faizul Ashar kemudian meluluskan permohonan tersebut tanpa sebarang kos dan menasihatkan Nora mengenai haknya untuk memfailkan injunksi tegah gangguan atau tindakan kacau ganggu di mahkamah sivil jika perlu.
Sementara itu, Dr Rushdi turut meluahkan kesyukuran atas keputusan isterinya dan berikrar akan melaksanakan syarat yang ditetapkan.
Baca juga:
- Chef Zam minta hormati ruang Tun M
- ‘Bonda Tun bisik ini mungkin persembahan terakhirnya bersama saya’ – Siti Nurhaliza
- ‘Jangan datang’ bukan doa, Abby Abadi jelaskan maksud hantaran buat anak
Beliau juga menegaskan akan bersikap lebih tegas dalam memimpin rumah tangga sebagai suami berpoligami, sambil menekankan kepentingan menjaga keharmonian keluarga tanpa campur tangan pihak luar.
“Insya-Allah, sebenarnya selama ini pun dah bertegas, jadi mungkin kena lebih tegas lagilah.
“Ingin saya perjelaskan, saya tak nak ada apa-apa gangguan daripada sesiapa. Itu adalah tuntutan agama dan perintah Allah SWT. Saya rasa cukup kenyataan itu,” katanya.
Sumber: Harian Metro








