Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menuntut permohonan maaf daripada pihak yang sebelum ini menuduh projek MyKiosk sebagai ‘projek gajah putih’.
Beliau berkata, tuduhan berkenaan tidak berasas memandangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan tiada sebarang salah guna kuasa, unsur jenayah mahupun rasuah dalam pelaksanaan projek itu.
“Dulu ada pelbagai dakwaan kata projek ini projek gajah putih. Oleh kerana itu, KPKT mengambil inisiatif mempelawa SPRM datang untuk siasat. Bila SPRM tak datang, kita pula pergi serah semua dokumen. Minggu lepas, SPRM keluarkan kenyataan tiada unsur salah laku.
“Maka, siapa yang baling batu jangan sembunyi tangan. Saya menuntut bagi pihak KPKT, mereka yang buat tohmahan dan fitnah, sila mohon maaf,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini
Baca juga:
- KPDN Kelantan siasat peniaga caj RM30 baiki kalkulator masuk air
- Pemandu e-hailing dihukum penjara sebulan, curi barangan keperluan harian
- Dihina dan dicemuh, anggota Bomba Sandakan kongsi situasi sebenar
Tambah Kor Ming, penjawat awam yang bekerja keras membantu rakyat seharusnya dihargai, bukannya dilemparkan dengan tuduhan palsu.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan KPKT sentiasa memantau semua projek yang dilaksanakan dan telah memperkenalkan sistem pemantauan prestasi berasaskan lampu isyarat.
“Jika prestasi cemerlang (lampu hijau), peruntukan akan dilipatgandakan. Jika sederhana (kuning), peruntukan dikaji semula. Jika gagal (lampu merah), peruntukan dibatalkan.
“Malah, Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dipanggil untuk beri penjelasan kepada Jabatan Kerajaan Tempatan,” katanya.
Sumber: Berita Harian








