Isu MyKiosk, Nga Kor Ming sedia disiasat SPRM | The Reporter

Isu MyKiosk, Nga Kor Ming sedia disiasat SPRM

Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menafikan unsur kroni dalam isu MyKiosk
Nga Kor Ming menegaskan KPKT sedia disiasat SPRM berhubung isu MyKiosk. Gambar: Facebook Nga Kor Ming

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu ketelusan harga projek MyKiosk.

Menterinya, Nga Kor Ming, menegaskan bahawa kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menyebarkan fitnah termasuk membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Saya hendak jemput Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) datang ke pejabat untuk minum teh. Saya juga telah arahkan pegawai KPKT untuk cari TikToker dan mereka yang sebar berita palsu,” katanya.

MyKiosk dipolitikkan

Menurut beliau, isu MyKiosk telah dipolitikkan oleh pihak tertentu bagi merosakkan imej Kerajaan Madani.

“Saya nampak cara mereka untuk jatuhkan imej kerajaan agar MCA dapat keluar dan sertai Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Kor Ming turut menyelar sikap MCA yang didakwa tidak membantu kerajaan meskipun merupakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dari hari pertama saya perhatikan perangai dan tingkah laku mereka cuba mengutuk kerajaan, membuat apa sahaja demi kepentingan sempit mereka,” katanya.

Nafi projek diberi pada kroni

Menafikan dakwaan kononnya projek MyKiosk dianugerahkan kepada kroni, beliau menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas memandangkan sebanyak 795 kontraktor terlibat, termasuk di Johor yang menerima jumlah kiosk terbanyak.

“Paling banyak dapat adalah Johor. MCA itu tidur, nyanyuk atau tidak buat kerja? Dia yang tender, dia yang dapat award, dia yang marah. Kalau bodoh tidak mengapa, tapi jangan bodoh sombong,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Kor Ming menjelaskan bahawa MyKiosk 2.0 telah ditambah baik dari segi spesifikasi dan kualiti. Ia kini dilengkapi dengan sistem tenaga solar yang mampu bertahan sehingga 12 jam, rak mudah laras, tingkap hidraulik, serta bumbung berkecerunan yang diperbuat daripada galvanized steel dan dilapisi dengan serbuk tahan karat.

“Takkanlah harga kereta BMW sama dengan harga (Perodua) Kancil?

“Tukang fitnah itu hanya mahu menjadi perosak untuk menghalang Kerajaan Madani membantu rakyat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts