Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, tampil memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berhubung projek pencahayaan I Lite U di Bukit Bintang, setelah video insiden itu tular dan mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) serta Gerakan Media Merdeka (Geramm).
Nga berkata, teguran terhadap kenyataannya diterima dengan hati terbuka, malah beliau mengakui perkara itu mungkin menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengamal media. Beliau menegaskan bahawa fokus utamanya kini adalah usaha membangunkan negara.
“Sekiranya ada rakan-rakan media yang terkilan dengan kata-kata itu, saya tarik balik dan mohon maaf supaya kita dapat fokus kepada usaha membina semula tanah air kita yang tercinta,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Taman MADANI, semalam.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Beliau menambah, penghormatan terhadap media dan kebebasan bersuara sentiasa menjadi pegangan beliau dalam menjalankan tugas kementerian.
“Ia penting untuk saya fokus kepada pembangunan negara,” katanya lagi.
Rakaman yang tular sebelum ini memaparkan beliau menjawab pertanyaan wartawan berkaitan penggunaan nama Inggeris dalam projek tersebut dengan nada yang dianggap sedikit keras.
KPKT anjur anugerah sebagai penghargaan kepada media
Dalam usaha memperkukuh hubungan dengan pengamal media, KPKT meneruskan penganjuran Majlis Makan Malam Anugerah Kecemerlangan Media KPKT (AKeMedia) 2025, yang dijadualkan berlangsung pada 17 November di Pavilion Hotel, Kuala Lumpur.
Sejak diperkenalkan pada 2023, acara itu diadakan sebagai tanda pengiktirafan kepada peranan media dalam memastikan penyampaian maklumat yang sahih dan berkesan kepada rakyat. Penganjuran tahun ini menerima 243 penyertaan dan kini berada di peringkat penjurian akhir oleh Malaysian Press Institute (MPI).
Majlis ini akan menobatkan pemenang dalam beberapa kategori termasuk siaran televisyen, radio, penerbitan artikel, foto, kandungan media sosial, video dalam talian serta Influencer atau KOL. Selain itu, turut diperkenalkan pengiktirafan tertinggi melalui Anugerah Khas Tertinggi Menteri.
Kementerian berharap usaha itu dapat memperkukuh kerjasama strategik dengan media, di samping meraikan jasa mereka dalam menyampaikan dasar serta pencapaian KPKT kepada masyarakat.
Sumber: Bernama, Facebook KPKT








