Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Netflix mengumumkan kenaikan harga untuk pelan langganannya bagi pengguna di Amerika Syarikat bermula hari ini, ketika syarikat itu terus meluaskan program penstriman secara langsung.
Lapor CBS News, langkah ini dibuat setelah Netflix berjaya menambah hampir 19 juta pelanggan pada suku musim percutian, menandakan strategi baharunya membuahkan hasil. Kenaikan ini juga berlaku selepas peningkatan harga terakhir pada 2023, di mana Netflix turut memperkenalkan kawalan ketat terhadap perkongsian kata laluan.
Netflix menyatakan pelaburan dalam program baharu, termasuk usaha menarik penonton melalui iklan, adalah sebahagian daripada usaha mereka memberikan lebih banyak nilai kepada pelanggan.
“Kami terus melabur dalam kandungan dan memberikan lebih nilai kepada pelanggan, jadi sekali-sekala kami meminta pelanggan membayar lebih sedikit untuk meningkatkan kualiti Netflix,” menurut kenyataan syarikat itu.
Butiran pelan langganan baharu Netflix (AS)
Netflix memaklumkan melalui e-mel kepada CBS MoneyWatch bahawa harga pelan langganan akan naik sekitar $1 (RM4.60) hingga $2.50 (RM11.50) sebulan, bergantung pada jenis pelan:
- Pelan standard dengan iklan: $7.99 (RM36.75) (sebelum ini $6.99 / RM32.15)
- Pelan standard: $17.99 (RM82.80) (sebelum ini $15.49 / RM71.25)
- Pelan premium: $24.99 (RM115.05) (sebelum ini $22.99 / RM105.90)
- Tambahan ahli: $8.99 (RM41.45) (sebelum ini $7.99 / RM36.75)
- Tambahan ahli untuk pelan dengan iklan: Kekal $6.99 (RM32.15)
Netflix menunjukkan prestasi cemerlang dengan peningkatan jumlah pelanggan dan kenaikan harga langganan. Pada suku keempat 2024, pendapatan bersih syarikat mencapai $10.2 bilion (RM46.92 bilion), berbanding $8.8 bilion (RM40.46 bilion) pada tempoh sama tahun lalu. Pendapatan bersih pula meningkat lebih dua kali ganda kepada $1.9 bilion (RM8.74 bilion).
Saham Netflix turut melonjak 102% sepanjang 12 bulan lalu, mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam persaingan perkhidmatan penstriman.
Bagaimana dengan Malaysia?
Pada 14 November 2024, Netflix telah menaikkan harga langganan di Malaysia untuk semua pelan, dengan perbezaan harga seperti berikut:
- Pelan Mudah Alih: RM18.90 (sebelum ini RM17, kenaikan RM1.90)
- Pelan Asas: RM29.90 (sebelum ini RM28, kenaikan RM1.90)
- Pelan Standard: RM49.90 (sebelum ini RM45, kenaikan RM4.90)
- Pelan Premium: RM62.90 (sebelum ini RM55, kenaikan RM7.90)
Setakat ini, tiada pengumuman rasmi daripada Netflix mengenai kenaikan harga langganan di Malaysia susulan tindakan serupa di Amerika Syarikat. Namun, memandangkan Netflix kerap menilai dan menyesuaikan harga langganannya berdasarkan strategi global dan keadaan pasaran tempatan, tidak mustahil akan ada perubahan harga di masa depan.