Neko, kucing peliharaan jadi wira keluarga | The Reporter

Neko, kucing peliharaan jadi wira keluarga

Kucing Neko berjaya menyelamatkan keluarga Aguspina semasa banjir Taufan Tino di Cebu
Gambar: MyTV Cebu

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Taufan Tino melanda Filipina pada beberapa hari lalu menyebabkan kemusnahan di beberapa wilayah di Visayas dan sebahagian Mindanao. Cebu dan Negros antara kawasan paling terjejas, apabila hujan lebat dan angin kencang mengakibatkan banjir besar, pokok tumbang serta kerosakan rumah semasa taufan melanda pulau-pulau berkenaan.

Disebalik kejadian yang berlaku, ada memori yang terpahat dalam sebuah keluarga ini. Siapa sangka, si bulus diangkat sebagai wira apabila menyelamatkan mereka dari kejadian yang tidak diingini.

Ketika Taufan Tino melanda Cebu pada awal pagi 4 November, keluarga Aguspina di Dumlog, Bandar Talisay menyangka bahaya telah berlalu. Namun, apabila air banjir mula naik, seekor kucing peliharaan bernama Neko memastikan keselamatan keluarga tuannya.

Neko, seekor kucing berumur empat tahun, baru sahaja menyambut ulang tahunnya bersama keluarga pada 3 November. Keesokan paginya, dia menjadi wira tidak dijangka bagi keluarga itu.

Dalam temu bual bersama MyTV Cebu, David Paul Aguspina berkongsi pengalaman menakutkan itu.

“Elektrik terpadam sekitar jam 4 hingga 5 pagi. Saya sedang tidur di tingkat bawah, separuh sedar kerana bunyi hujan dan angin yang kuat. Sepanjang masa itu, Neko hanya memerhati keluar tingkap.Saya tidak tahu kenapa, tetapi Neko terus melihat ke luar, mungkin ‘firasat’ haiwan atau sesuatu. Mungkin dia nampak air sedang naik,” katanya.

Baca juga:

Paul menceritakan bagaimana Neko tiba-tiba berlari ke arahnya dan secara tidak sengaja menjatuhkan laptopnya ke lantai.

“Bunyi itu mengejutkan dan buatkan saya tersedar. Apabila saya melihat lantai, ia sudah basah dan air mula masuk. Saya terus naik ke tingkat atas untuk membangunkan keluarga dan menyelamatkan barang-barang penting,” katanya.

Keluarga Paul bertindak pantas dan berjaya berpindah ke rumah jiran tiga tingkat bersama tiga haiwan peliharaan mereka, termasuk Neko.

“Kalau tidak kerana Neko, mungkin saya tidak akan hidup sekarang. Saya bersyukur kerana keselamatan keluarga lebih penting daripada kehilangan laptop dan barang lain,” katanya.

Related Posts