Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Natalie Reynolds menangis depan pejabat TikTok selepas akaunnya digantung
• Akaun TikToknya diikuti lebih 2.5 juta pengguna
• Video prank wanita gelandangan cetus kemarahan ramai dan desakan agar dikenakan tindakan undang-undang
Natalie Reynolds, seorang pempengaruh TikTok dari Los Angeles (LA), mencuri perhatian ramai apabila dia dilihat menangis dan merayu di luar pejabat TikTok di LA. Tindakannya itu berlaku selepas akaun TikTok miliknya yang mempunyai 2.5 juta pengikut digantung, dipercayai berpunca daripada satu video prank yang mengundang kecaman ramai.
Dalam video yang tular Mei lalu, Natalie dilaporkan menawarkan $20 (sekitar RM95) kepada seorang wanita gelandangan untuk terjun ke dalam tasik Lady Bird Lake di Austin, Texas, walaupun mengetahui wanita itu tidak pandai berenang.
Natalie sendiri berjanji akan terjun bersamanya, tetapi sebaliknya dia hanya berdiri melihat tanpa membantu. Mangsa akhirnya diselamatkan oleh anggota bomba, sementara Natalie dan rakannya telah beredar dari tempat kejadian.
Tindakannya itu dianggap melampau dan membahayakan nyawa. Ramai netizen menyifatkan ia bukan sekadar prank, malah berpotensi menjadi satu bentuk penderaan yang wajar dikenakan tindakan undang-undang.
Sanggup menangis di pejabat TikTok
Kehadiran Natalie di luar pejabat TikTok dilihat sebagai usaha terakhir untuk merayu agar akaunnya diaktifkan semula. Namun tindakannya mencetuskan pelbagai reaksi. Ada yang simpati, tetapi lebih ramai yang menganggap ia hanyalah lakonan demi menarik semula perhatian selepas menerima kecaman bertubi-tubi.
Setakat ini, TikTok belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai punca sebenar penggantungan akaun tersebut. Natalie pula mendakwa dirinya menjadi mangsa laporan palsu oleh individu yang cemburu dan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.
Di media sosial seperti Reddit dan X, ramai yang berpendapat Natalie perlu bertanggungjawab terhadap tindakannya. Ada juga yang mempersoalkan sama ada tangisannya itu benar-benar ikhlas atau sekadar gimik untuk meraih simpati.
Netizen desak pihak berkuasa ambil tindakan
Buat masa ini, belum ada laporan rasmi pihak berkuasa akan menyiasat kejadian itu. Namun, dengan video yang tular dan tekanan netizen yang semakin meningkat, tidak mustahil siasatan akan dibuka.
Kejadian ini menjadi peringatan kepada semua pempengaruh agar tidak melampaui batas semata-mata untuk mencipta kandungan sensasi. Dalam era digital hari ini, sebarang tindakan boleh membawa padah apabila batas kemanusiaan dilanggar.








