Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seekor kucing berwarna oren yang mesra dipanggil Oyen menjadi tular di media sosial selepas perangainya yang suka ‘mengambil’ selipar jiran dan membawa pulang ke rumah tuannya mencuit hati ramai netizen.
Menerusi perkongsian pemiliknya, Noraini Darus di TikTok, Oyen sering membawa balik selipar jiran-jiran dan ‘memanggil’ tuannya seolah-olah mahu membuktikan bahawa dia sudah membawa pulang sesuatu sebagai ‘hasil’.
Kehilangan selipar yang menjadi tanda tanya dalam kalangan penduduk taman sebelum ini akhirnya terjawab apabila Oyen ‘ditangkap’ kamera litar tertutup (CCTV) sedang ‘mencuri’ selipar dari rumah jiran berdekatan. Aksi comel tetapi ‘nakal’ itu nyata mengundang tawa ramai.
Lebih menarik, group WhatsApp taman perumahan tersebut juga semakin riuh dengan pelbagai pengumuman kehilangan selipar.
“Baru cakap semalam Oyen tak akan ambil selipar rumah kita sebab jauh. Sekali pagi ni, hilang dah sebelah,” kata salah seorang jiran dalam mesej yang dikongsikan.
Baca disini juga:
- ‘Jangan paksa kerajaan iktiraf UEC’ – Tok Mat tegaskan soal identiti kebangsaan
- ‘Saya nak brek, tapi tertekan pedal minyak’ – Pemandu cuai langgar 20 murid sekolah
- Enggan tukar tempat duduk tepi tingkap dengan budak, wanita fail saman selepas video tular
Mujur, jiran-jiran sekitar memandang positif tingkah laku Oyen. Ada netizen mencadangkan agar setiap selipar ditanda nama supaya mudah dicam jika Oyen ‘ambil’ lagi, manakala ada juga yang mencadangkan pemilik rumah menyimpan selipar di rak kasut tertutup.
Seakan memahami dirinya sudah tular di media sosial, Oyen dilihat beberapa kali membawa pulang ‘hadiah’ lain buat tuannya. Namun, tabiat itu tidak kekal lama apabila dia kembali aktif dengan kegemaran asalnya iaitu mengambil selipar jiran.
Bukan sahaja gelagat Oyen mencuit hati ramai, bahkan telatah ‘Mak Oyen’, Noraini Darus yang gigih memulangkan semula selipar-selipar kepada pemilik asal juga mendapat perhatian netizen.








