Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, telah memfailkan permohonan semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum di Mahkamah Tinggi. Permohonan ini diajukan melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co.
Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan, memohon perintah supaya responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Titah ini didakwa diberikan sehari sebelum baginda menamatkan penggal pemerintahannya.
Titah Adendum tersebut didakwa mengandungi pengurangan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta. Najib juga memohon perintah supaya jika titah itu wujud, responden perlu melaksanakannya dan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Peguam Najib Menuntut Penjelasan Kerajaan
Sementara itu, peguam Najib menuntut kerajaan menjelaskan dakwaan mereka menyembunyikan kewujudan titah tambahan Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan bekas perdana menteri itu menghabiskan hukumannya bawah tahanan rumah.
“Tiada siapa boleh sembunyikannya. Ini titah arahan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Najib kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022. Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Zahid Hamidi sebagai saksi kritikal
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disahkah sebagai ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, pada 30 Januari lalu.
Katanya, Tengku Zafrul telah menunjukkan kepadanya salinan titah berkenaan pada telefon bimbit beliau.
Sumber: Malaysia Kini, Berita Harian








