Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Suami kepada pelakon Miera Liyana, Rosland Othman berkata dia tidak pernah culas dalam pemberian nafkah terhadap isteri pertama dan anaknya meskipun sedang melalui perbicaraan kes nusyuz.
Rosland, 50, berkata dia memberi nafkah antara RM15,000 sehingga RM20,000 sebulan kepada Adibah dan anak-anak.
“Sehingga semalam pesanan membeli barang dapur saya tunaikan. InsyaAllah semuanya lengkap seperti ansuran rumah, bil elektrik, perbelanjaan persekolahan dan kad kredit juga diberi, tapi masih keluarkan kenyataan saya tidak bertanggungjawab.
“Saya boleh tunjukkan apa bayaran dia dapat, saya ada beri tunai tidak termasuk perbelanjaan sekolah dan kenderaan sekolah anak. Tapi masih mengatakan saya tidak bertanggungjawab dan tidak memberikan nafkah kepada anak-anak sedangkan saya masih beri walaupun saya tidak keluar kenyataan di media, saya suka simpan fakta ini di mahkamah.
“Secara keseluruhan jumlah saya beri lebih RM15,000 hingga RM20,000. Walaupun dalam keadaan ekonomi meleset dan bisnes (perniagaan) tidak menentu, saya beri (nafkah) tapi masih ada tohmahan tidak berasas,” katanya.
Plaintif iaitu Rosland memfailkan nusyuz terhadap Adibah Abdul Mutalib, 50, selepas dikatakan keluar rumah tanpa keizinan pada 24 September 2021.
Dalam prosiding itu, Rosland memberitahu pulang awal ke rumah pada jam 6.30 petang hari kejadian, untuk membawa anak mereka keluar namun Adibah tiada di rumah.
Rosland sebelum ini memfailkan cerai terhadap Adibah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 7 April lalu mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Adibah menolak permohonan cerai yang difailkan Rosland dan mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian itu.
Sumber: Harian Metro








