Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kanak-kanak berusia lapan tahun maut manakala ibunya cedera parah selepas mengalami kemalangan di Kilometer 12 Jalan Kuala Selangor-Rawang.
Kereta jenis Toyota Vios yang dipandu ibu mangsa bertembung dengan sebuah lori.
Menerusi laporan Sinar Harian, mangsa meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Tanjong Karang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Mohd Ambia Nordin berkata, ibu mangsa, 34, dan pemandu lori, 58, mengalami kecederaan parah dan dirawat di zon merah hospital sama.
“Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada jam 5 petang dan hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.
Menurut Ambia lagi, insiden berkenaan berlaku ketika dua beranak berkenaan dalam perjalanan pulang dari sekolah di Bestari Jaya dan menuju ke rumah mereka di Kuala Selangor.
Siasatan polis juga mendapati kereta dipandu wanita berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan semasa melalui selekoh.
Pemandu lori dikatakan tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta berkenaan.








